Kes Buli MRSM Pulau Pinang 7 Pelajar Ditamatkan Serta Merta
KUALA LUMPUR: Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu ditamatkan pengajian berkuat kuasa serta-merta. Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu berdasarkan syor dibuat Jawatankuasa Disiplin MRSM.
"Keputusan kes buli MRSM Jawatankuasa Disiplin Maktab: Tujuh pelajar didapati terbabit. Dua (daripadanya) terbabit buli fizikal. Lima subahat.
"Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian daripada MRSM," katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali beliau ingatkan dan tegaskan prinsip #YouTouchYouGo.
"Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.
"Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini," katanya.
Sebelum ini tular video yang mengaitkan perbuatan buli membabitkan pelajar MRSM.
Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada punggung, namun tidak dapat dipastikan ia cuma suatu gurauan atau perbuatan buli.
Berikutan itu, Asyraf Wajdi semalam dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat video tular dikaitkan dengan perbuatan buli membabitkan pelajar di MRSM.
Beliau juga menegaskan tindakan tegas bakal diambil sekiranya kejadian dalam rakaman video berkenaan adalah perbuatan buli yang memang berlaku di IPMA itu.
SUMBER : BH ONLINE
Catat Ulasan