Powered by Blogger.

Kes Buli Pelajar Di Pulau Pinang


BUKIT MERTAJAM - Tindakan tiga pelajar membuli rakan dari sekolah yang sama berbalas apabila Mahkamah Majistret di sini memerintahkan mereka dimasukkan ke Sekolah Tunas Bakti, Teluk Air Tawar di Butterworth selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

Majistret Nurzafirah Mohamed Ali membuat keputusan itu setelah pelajar lelaki berusia 15 tahun dari sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya itu mengekalkan pengakuan bersalah sejak kali pertama mereka dihadapkan ke mahkamah sama pada 25 Oktober lalu.

Mereka dituduh membuli seorang rakan sekolah pada 4 Mac lalu kira-kira pukul 2.25 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 34 kanun yang sama kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md. Zain. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Masyarakat sebelum ini digemparkan dengan rakaman sekumpulan pelajar sekolah membuli seorang pelajar lain dan ia tersebar di laman sosial YouTube sehingga menjadi perbualan hangat.

Rakaman berdurasi 1 minit 32 saat menggunakan telefon bimbit itu memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolahnya dalam sebuah kelas.

KOSMO ONLINE

0 Komentar untuk "Kes Buli Pelajar Di Pulau Pinang "

Back To Top